Penyanyi terkenal, Tomok mengakui persaingan dalam Gegar Vaganza musim kesembilan (GV-9) bukan perkara mudah kerana semua peserta mempunyai taring.
Menurut Tomok atau nama penuhnya Shah Indrawan Ismail, 38, setiap minggu dia tampilkan kelainan, namun akur dengan kekangan masa untuk menjiwai sebaik-baiknya lagu-lagu dibawa.
“Setiap minggu adalah malam final saya. Tak ada apa yang nak disimpan, semuanya saya keluarkan.
“Masing-masing kena berikan yang terbaik. Apa yang Tok Ram (Datuk Ramli MS) cakap atau tegur akan jadikan saya lebih bersemangat.
“Nak duduk sama-sama penyanyi asal mengkaji lagu tugasan, memang tak cukup masa.
“Tetapi saya tetap kaji bersama pasukan supaya penyampaian saya boleh difahami dan sampai kepada pendengar atau penonton,” ujarnya.
Terdahulu, Tok Ram selaku ketua juri GV-9 ketika menyuarakan pandangannya berpesan, Tomok perlu bekerja kuat dan menggandakan usahanya.
“Tomok tanya saya nak pilih lagu apa. Jadi saya cabar, kalau berani, cubalah nyanyi Mentera Semerah Padi.
“Dia sahut cabaran saya dan tidak membandingkan dengan penyanyi asal iaitu Datuk M Nasir.
“Versi Tomok okey, kerja keras yang saya maksudkan kena pergi lebih mendalam tentang ilmu seni suara.
“Pendek kata, jika perlukan rujukan tambahan, banyakkan sembang dengan orang berpengalaman,” jelasnya berkongsi tip. – BOOM!