Melakonkan babak panas di ranjang sememangnya diakui ramai pelakon profesional sebagai satu cabaran terbesar dalam karier mereka.
Tidak terkecuali buat pelakon berbakat besar yang bertubuh genit, Jasmine Suraya yang berdepan kesukaran sewaktu menjayakan adegan seks dalam drama digital terbaharu, Villa Kristal.
Menerusi naskhah yang bakal ditayangkan di platform penstriman WeTV itu, Jasmine memegang watak sebagai Angel, seorang bekas pramugari dan guru yoga di vila mewah berkenaan.
Sewaktu tayangan perdana dan dipertontonkan kepada pihak media Selasa lalu, Jasmine kelihatan agak terkejut melihat aksinya sendiri demi memenuhi kehendak skrip.
Menurut pemilik nama penuh Jasmine Suraya Chin Xian Mei ,33, dia berfikir dua kali sebelum bersetuju untuk menerima tawaran tersebut.
“Watak Angel sangat seksi dan ‘daring’. Dua kali saya fikir masak-masak sebelum membuat keputusan.
“Selepas mempertimbangkan pelaku dalam babak itu bukan saya tetapi Angel, barulah lega rasanya,” kata gadis Tiong Hua itu ketika ditemui pada sidang media.
Naskhah yang diarahkan oleh Khabir Bhatia dan Jason Chong berkenaan, terdapat beberapa babak ranjang seperti hubungan intim antara Jasmine dan heronya, Alvin Wong.
“Susah sebenarnya untuk lakonkan adegan itu kerana melibatkan aspek teknikal.
“Ia kelihatan seperti sedang melakukan hubungan seks, hakikatnya fizikal kami tidak bersentuh.
“Kalau ada pun cuma sentuhan tangan,” katanya.
Bukan saja terlibat dengan babak panas dengan Alvin, dia juga dituntut mengulangi adegan serupa dengan seorang lagi pelakon.
“Walaupun menjalin hubungan cinta tiga segi, karakter Angel ini sebenarnya sangat kelakar, ceria dan penyayang,
“Apa yang diinginkan, dia akan buat ikut suka dan kata hati. Itulah mesej yang cuba disampaikan kepada penonton bahawa kita bebas lakukan apa-apa, namun jangan sakiti siapa-siapa,” tuturnya.
Melihatkan perwatakannya yang berani dan berpenampilan seksi, Jasmine akui dia terpaksa turunkan berat badan demi penuhi tuntutan watak.
“Saya terpaksa amalkan diet dan bersenam dua kali sehari untuk sesuaikan diri dengan pesona Angel. Ini kerana, dia seorang jurulatih Yoga.
“Sebelum masuk set, badan saya agak berisi. Enam minggu tak makan nasi untuk dapat saiz ideal.
“Waktu tu saya rasa terseksa, nak makan tetapi tak boleh,” kongsinya.
Ditanya tentang persediaannya berhadapan dengan reaksi penonton, kata anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, dia terbuka untuk terima sebarang maklum balas atas kapasiti seorang pelakon.
“Ini adalah salah satu cerita yang dah lama kita tak tengok di skrin Malaysia dek betul-betul melangkau sempadan serta berani.
“Bila lagi kita nak ada cerita sebegini? Saya sangat suka naskhah ini kerana tidak klise, malah memaparkan aspek berbeza kisah empat wanita seperti siri Sex And The City atau Desperate Housewives.
“Saya rasa ramai perempuan yang nak berlakon dalam cerita seperti ini,” tambahnya.
Villa Kristal mengangkat kehidupan Hani (Mimi Lana), yang menyamar sebagai menantu seorang ahli politik untuk mencungkil rahsia rumah tangga madu-madu dan kekasih-kekasih rahsia VIP terkenal dalam kediaman Villa Kristal.
Turut menjayakan siri 13 episod itu ialah Tiz Zaqyah yang menyandang watak usahawan berjaya dan Mawar Rashid sebagai isteri kedua kepada ustaz terkenal. – BOOM!