Baru minggu pertama program realiti Big Stage membuka tirainya, nama Aufahanie, 20, mula menjadi sebutan lantaran tampil memakai busana persis juri tetap, Aina Abdul semasa konsert yang berlangsung Ahad lalu.
Pemilik nama sebenar Nur Aufahanie Mokhtar yang menyanyikan lagu Geming Jiwa turut terkejut sekali gus menegaskan segala yang terjadi hanyalah kebetulan semata-mata, bukannya gimik seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Memandangkan saya mempersembahkan lagu balada Geming Jiwa, jadi kami tidak menggunakan banyak props sebaliknya meletakkan kreativiti kepada baju.
“Soal pakaian semua saya serahkan kepada pihak pengurusan. Saya tak tahu baju apa yang akan dipakai sehinggalah sesi latihan. Itupun saya tidak tahu menahu apa yang dipakai oleh Aina.
“Tapi bila ‘kapsul’ dibuka malam itu, saya pun terkejut dan tergamam. Pakaian yang ala-ala sama dengan Aina memang hanya kebetulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Namun begitu, tidak hanya pakaiannya yang menjadi sorotan. Vokal dan persembahan keseluruhan penyanyi asal Shah Alam, Selangor itu juga menjadi tumpuan.
Malah kongsinya,. selepas habis persembahan malam itu, pengurusnya tidak membenarkan dia membaca komen di laman sosial supaya dapat memberi tumpuan dan tenaga kepada persembahan.
“Saya banyak dengar daripada kawan-kawan dan keluarga bahawa ramai yang memberikan reaksi positif terhadap persembahan saya.
“Sebenarnya saya sudah bersedia dengan apa-apa komen daripada warganet kerana saya masuk pertandingan, jadi saya kena bersedia untuk disuka atau tidak.
“Apapun, saya sudah berhasrat memasuki Big Stage sejak lima tahun lalu. Bila sudah diberi peluang, saya akan berusaha semaksimum mungkin,” tambahnya. – BOOM!