Majoriti pelakon yang dikategorikan ‘bakat baru nak up’ atau BBNU selalunya baru berkecimpung di pentas hiburan.
Bagaimanapun, bagi Ewan Fauzi yang sudah bertapak dalam industri hiburan lebih 10 tahun mengakui masih terdapat segelintir pihak menggelarnya BBNU.
“Di awal pembabitan nak jadi pelakon, saya akan hadiri lima sampai tujuh uji bakat lakonan walaupun tidak berjaya.
“Tapi saya tak patah semangat dan selepas 10 tahun baru kewujudan saya semakin disedari. Ia bukan satu tempoh masa yang singkat.
“Saya percaya dengan takdir Allah. Saya dapat rasa betapa susah dan peritnya industri seni ini dan lakonan saya kian matang biarpun ada yang ingat saya BBNU,” ujarnya tidak kekok dipanggil sebegitu.
Tambah Ewan, tahun-tahun sudah dia hanya diberi peranan memegang watak pembantu sahaja.
Begitu pun, siri Telah Aku Halalkan arahan Amor Rizan yang sedang disiarkan di saluran TV Okey berjaya meletakkan namanya sebagai teraju utama.
“Selain itu, Sis Sayang Kamu yang sedang bersiaran pun saya berlakon sebagai watak utama.
“Kali pertama tengok opening montage muka sendiri, sangat terharu. Ibu saya tak pernah terlepas menonton drama lakonan saya,” kongsinya.
Tambah Ewan, sedekad ini cukup mematangkan dirinya dan sedaya upaya memperbaiki diri untuk bersosial.
Antara pembabitan lain Ewan adalah menerusi telefilem Nombor, Puteri Reunion dan Gantung The Series. – BOOM!