Pelakon Daler Yusuf memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki yang telah mencuri wangnya di stesen minyak Petronas Taman Melati, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 11 pagi semalam, pelakon itu telah kehilangan sejumlah wang apabila dicuri suspek sementelah tercicir di depan pintu masuk kedai serbaneka di stesen terbabit.
“Tadi (semalam) dekat Petronas, selepas keluarkan wang, duit saya tercicir di pintu masuk Petronas.
“Dalam CCTV boleh nampak ada lelaki mengambilnya walaupun dia tahu itu duit saya.
“Kalau sesiapa yang kenal dia, minta tolong suruh pulangkan. Minta tolong sangat, harap dapat balik duit itu,” katanya yang turut berkongsi rakaman CCTV tersebut.
Daler atau nama sebenarnya Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad, 29, bagaimanapun mengaku salah kerana cuai sehingga tidak sedar wang yang baru dikeluarkan daripada ATM telah tercicir.
“Salah saya juga kerana terlalu leka guna telefon. Ketika kejadian saya sibuk bermesej dengan orang servis kereta sehingga tidak sedar wang tercicir,” tulisnya lagi.
Pun begitu, Daler tidak mendedahkan jumlah sebenar wang yang dicuri.
Difahamkan, wang tersebut mahu digunakan untuk membayar kos membaiki keretanya selepas terbabit dalam kemalangan kecil.
“Stres, itu adalah duit untuk menukar bumper kereta selepas terlibat dalam kemalangan dan pihak bengkel minta bayaran secara tunai,” tambah Daler.
Dia juga berasa amat terkesan dengan kejadian itu apabila membayangkan perkara sama berlaku kepada orang lain.
“Bayangkan kalau kejadian ini berlaku kepada orang lain dan wang dicuri itu adalah baki terakhirnya untuk teruskan hidup sepanjang bulan,” kongsinya. – BOOM!