Pempengaruh media sosial, Aleeya Zailan mengakui kejayaannya menguruskan empayar perniagaan dimiliki bersama suami, Azri Aziz atau mesra disapa Big Boss hadir dengan satu tanggungjawab besar.
Justeru, bersempena musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bermula sejak awal bulan ini, Aleeya tekad untuk persiapkan diri menjadi calon pemimpin demi membela nasib rakyat.
“Ya, harap sangat nanti rakyat dapat undi dan pangkah saya supaya dapat jadi YB Aleeya.
“Bukan Yang Berhormat, tapi ‘yang berjuang’,” selorohnya sempena gimik pelancaran kempen jualan dan promosi besar-besaran yang dinamakan GE Sales AZ.
Menurut pemilik jenama Avenys berusia 36 tahun itu, menggalas status jutawan di kala masih muda secara tidak langsung memberi kesempatan baginya untuk membalas semula jasa-jasa ‘rakyat’.
Jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu, rakyat dimaksudkannya merangkumi penyokong tegar produk Avenys seramai 2.5 juta pengikut di kesemua platform media sosial miliknya.
“Alang-alang semua orang tengah sibuk dengan PRU, tercetus idea untuk menyuntik elemen pilihan raya ke dalam kempen promosi yang kami jalankan kali ini.
“Dengan cara ini, kami dapat menghangatkan lagi suasana pilihan raya sebenar, di samping menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan warga Avenys,” ujar anak kelahiran Umbai, Melaka itu.
Selain itu, kempen GE Sales AZ turut diiringi laungan slogan berbunyi, ‘Dari Rakyat Kepada Rakyat’ yang bererti setiap keuntungan diperolehi syarikat Bumiputera tersebut dijamin memberi pulangan buat para kakitangan serta pelanggannya.
Sebagai manifesto kempen berkenaan, Aleeya yakin dan berani jamin semua pihak yang menyokongnya bakal mendapat manfaat, terutama dari aspek peningkatan ekonomi diri serta keluarga. – BOOM!