Kawasan perumahan penyanyi Ezad Lazim antara yang terjejas berikutan hujan lebat yang melanda.
Perkara tersebut dikongsi Ezad menerusi laman sosial Facebook (FB)nya malam tadi selain turut memohon doa urusannya dipermudah.
“Kawasan rumah dah mula dinaiki air, doakan semoga dipermudahkan segalanya,” tulis Ezad.
Difahamkan status tersebut dimuat naik petang Ahad ketika Ezad berada di Shah Alam, bersedia untuk persembahannya di pentas All Stars Gegar Vaganza (ASGV), minggu ketujuh.
Selain itu, Ezad turut membuat hantaran terbaharu kira-kira jam 2.30 pagi tadi di Instagram, memberitahu mengenai keadaan terkini di kawasan perumahannya.
Menurut Ezad beberapa kawasan sudah terputus bekalan elektrik dan air masih belum surut.
Malah sebelum itu menerusi hantaran lain, Ezad turut mendedahkan dia keluar dari kawasan perumahannya ke konsert ASGV menggunakan trak polis.
“Kawasan nak masuk rumah saya dah memang ada penghadang dah. Jadi saya tak boleh nak masuk ke rumah saya.
“Tadi masa saya keluar pun memang saya tumpang truck Polis nak pergi buat GV. Nasib baik ada abang-abang Polis ni semua.
“Doakan samoga dipermudahkan urusan kami, memang dari dulu kawasan sini selalu banjir. Selalu air naik.
“Harap ada tindak balas dan respon daripada pihak yang berkenaan tentang kawasan kami. Memang macam inilah selalunya masalah melanda kami,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ezad menjadi peserta keenam tersingkir dari pentas ASGV dengan persembahan terakhirnya menyanyikan lagu Seksa (Ukays).
All Stars Gegar Vaganza dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Manakala juri tetap pula adalah Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
All Stars Gegar Vaganza bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104). – BOOM!