Amir Raja Lawak meluahkan rasa terkejut dengan tuduhan seorang netizen yang cuba mengaitkan perniagaan minuman miliknya dengan negara sekutu Israel iaitu Amerika.
Amir menerusi laman sosial Facebooknya turut berkongsi komen berbaur kebencian yang dimuat naik individu terbabit.
Kata individu itu, Amir mengundang kebencian ramai kerana menggunakan nama Amerika dan meminta pelawak tersebut menukar nama dan mengugut untuk memboikot.
Menafikan perkara tersebut, Amir menegaskan nama perniagaan minumannya bukan Amerika sebaliknya Amir-reka.
“Mula-mula terkejut juga dia komen macam tu, tapi saya rasa dia tak tengok betul-betul. Saya Amir-reka bukan Amerika!
“Risau juga jika ada yang termakan dengan komen tu. Nak-nak lagi sekarang ini orang bersemangat sangat nak boikot produk. Tak pasal-pasal produk saya pula terkena nanti,” kata Amir.
Dalam pada itu, Amir berharap orang ramai lebih berhati-hati melemparkan komen kerana perniagaannya melibatkan ejen.
“Saya ini berniaga kecil-kecilan. Kalau boikot, macam mana saya nak bisnes. Saya juga ada ejen-ejen, lagi la risau kalau mereka (ejen) pun terkena tempias. Ditambah, dengan cara ini saya dapat berkongsi rezeki bersama orang lain,” katanya.
Amir atau nama sebenarnya, Mohammad Amirullah Azmi berkata, kebanyakan daripada ejen terbabit itu, masing-masing ada keluarga dan semuanya gigih mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan.
“Apa yang saya boleh kata, ada saja komen-komen nakal yang lain. Tapi, biasanya saya buat tak tahu saja. Namun, yang ini (berkaitan boikot) saya terpanggil untuk perjelaskan supaya ramai orang tidak salah anggap.
“Alhamdulillah ramai yang memahami ‘nickname’ saya Amirreka itu, sampai ada yang cadangkan tukar ‘nickname’ pakai Amirgaza ataupun Amirpalestin supaya orang yang kurang faham itu puas hati,” katanya. – BOOM!