Penyanyi Fyna Jebat mengakui fokusnya kini lebih kepada kerjaya selepas bercerai dengan bekas jurulatih bola sepak, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Fyna atau Nur Shafinaz Jebat, 30, mengakui hidupnya semakin gembira berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan selain masih menjaga hubungan baik dengan bekas suami.
“Syukur, saya gembira dengan kehidupan sekarang selain meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Jika orang kaitkan saya dengan berita lama, saya tak boleh cakap apa-apa, sebab saya tidak mahu besar-besarkan cerita lampau.
“Apa yang lepas, biarlah berlalu. Saya pun masih bersahabat dengan dia,” katanya.
Tampil dengan imej baharu berambut pendek, Fyna ingin kembali dengan gaya yang lebih segar selain mengimbau penampilannya semasa di program realiti Akademi Fantasia musim sembilan (AF9).
“Tidak benar dakwaan saya berambut pendek kerana bersedih. Sebenarnya, saya sudah berambut pendek sejak dulu lagi terutama ketika awal pembabitan dalam dunia hiburan menerusi pertandingan AF9.
“Jadi itu memang imej saya yang lama, cuma sekarang saya nak tampil semula dengan gaya sebegitu. Lebih ‘fresh’.
“Memang tiada kaitan dengan sesiapa,” tambahnya.
Fyna dan Zainal bercerai secara baik pada Ogos lalu.
Selepas pencerian, Fyna mendiamkan diri selama beberapa bulan dan kakaknya, Ayda Jebat beranggapan adiknya sedang berada dalam tempoh bertenang selepas kemelut rumah tangganya menjadi perhatian. – BOOM!
Sumber: UTUSAN