Pelakon Amelia Henderson nekad ‘lawan’ dan enggan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada penerbit drama Datuk A. Aida seperti diperintahkan mahkamah sebelum ini.
Amelia ketika majlis sidang media tergemparnya pada petang Rabu turut menjelaskan dia sudah mendapatkan perintah penggantungan untuk berbuat demikian dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
“Saya hormati keputusan mahkamah sebelum ini. Tindakan rayuan ini adalah untuk membuktikan kebenaran di pihak saya. Saya telah mendapatkan nasihat peguam dan bukan buat keputusan sesuka hati.
“Saya nampak ramai yang memberikan komen mengatakan saya degil dan sombong kerana mahu meneruskan kes ini.
“Saya tahu, kalau orang lain, mungkin kereka tidak akan memilih jalan ini. Namun saya berbeza, saya sudah bekerja di dalam industri ini sejak 27 tahun yang lalu, jadi saya mahu mempertahankan kebenaran dan nama baik saya,” katanya.
Dalam pada itu, Amelia gagal menahan sebak ketika membicarakan soal nama baik dan kariernya yang tercalar gara-gara kes mahkamah melibatkan dirinya dan penerbit A. Aida.
“Apabila ada yang mempersoalkan mengenai kerjaya yang sudah saya berikan sepenuh jiwa dan raga, saya agak sebak. Sudah tentu saya mengambil berat tentang kerjaya saya.
“Saya tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menghancurkan kerjaya yang telah saya sehingga kini,” katanya sebak.
Sungguhpun menerima banyak tohmahan, pelakon filem Pulau itu menafikan dan tidak terkesan dengan apa yang telah dilemparkan terhadapnya.
“Saya tidak terkesan sebab orang yang kenal saya, mereka tahu saya macam mana. Cuma saya bimbang sebab apa yang mereka katakan kepada saya itu langsung tidak mencerminkan diri saya.
“Tetapi sebagai manusia terasa juga apabila membaca komen-komen negatif. Selama ini saya jaga reputasi saya baik hubungan dengan peminat mahupun kerja.
“Sebenarnya kes mahkamah ini sedikit sebanyak memberi impact kepada karier saya tetapi saya percaya rezeki itu datang daripada Tuhan, bukan manusia,” katanya.
Amelia atau Amelia Thripura Henderson, 28, pada hari ini berjaya mendapatkan perintah penggantungan untuk membuat permohonan maaf termasuk tidak perlu menurunkan semula video tentang yang dikongsi di media sosial miliknya sebelum ini.
Pelakon filem Pulau itu memberitahu penangguhan itu diteruskan sehingga keputusan rayuan yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Oktober depan.
Pada 7 April lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Amelia untuk membayar ganti rugi sebanyak RM213,000 susulan melanggar kontrak pembabitannya drama drama Sekali Lagi Cinta Kembali terbitan A. Aida Productions. – BOOM!