Sebaik sahaja MUSE melangkah masuk ke pentas, sorotan mata penonton tertumpu kepada lampu, laser, strob dan latar belakang memaparkan wajah bertopeng 3D gergasi yang bergerak ke kanan dan kiri seperti sedang memerhati ke arah ‘crowd’.
Meremang! Itu belum lagi api marak yang dinyalakan agak kerap di pentas mengiringi persembahan MUSE dan ya, menambah kehangatan malam ‘Musers’ pada Konsert Muse Will Of The People World Tour 2023, Sabtu lalu.
Tidak cukup dengan itu, penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil dimandikan pula dengan pancuran konfeti, kejutan demi kejutan diberikan sehingga semua terlupa konsert bermula lewat.
Sepatutnya konsert dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam namun disebabkan beberapa masalah luar duga, kumpulan berasal dari Devon, England yang dianggotai oleh Matt Bellamy (vokalis dan gitaris utama), Chris Wolstenholme (bass) dan Dominic Howard (drum) bermula pada 9.25 malam.
Konsert yang dianjurkan oleh Hello Universe itu membuka tirai dengan lagu baharu mereka, Will of The People dan MUSE muncul dengan memakai topeng muka ikonik mereka.
Mesej diterjemah menerusi persembahan pembukaan sampai, iaitu MUSE berkongsi rasa tentang kesukaran ketika dunia diserang pandemik menepati tema ‘kegelapan’ yang dibawakan pada malam tersebut.
Dan sudah tentu seleksi lagu popular MUSE pada malam tersebut antaranya Hysteria, Psycho, Thought Contagion, Won’t Stand Down, Kill or Be Killed, Compliance, Time Is Running Out, Uprising, Supermassive Black Hole dan Starlight tidak menghampakan 53,000 peminat yang hadir.
Persembahan bertenaga MUSE konsisten sepanjang hampir dua jam konsert berlangsung dan wajar diberikan pujian. Penggunaan pentas yang tidak disia-siakan, memang puas hati. Pendek kata, penonton yang hadir pulang dengan senyuman walaupun ada lagu yang terpaksa digugurkan daripada senarai.
Pada malam konsert, Matt berulang kali menzahirkan ucapan terima kasih sebagai tanda apresiasi buat peminat yang hadir menyaksikan konsert mereka.
“Terima kasih Kuala Lumpur…Anda menunggu 16 tahun, kami harap selepas ini tidak perlu lagi menunggu lama,” katanya disambut sorakan peminat.
MUSE terus menggila dengan persembahan rock n roll ‘tidak masuk akal’ dengan lagu-lagu lain seperti Madness, Plug In Baby, You Make Me Feel Like It’s Halloween, Behold dan The Glove.
Malaysia menjadi satu-satunya persinggahan MUSE mengadakan konsert siri jelajah terbaru mereka itu, bersempena album kesembilannya yang berjudul Will Of The People.
Ini kali kedua MUSE mengadakan konsert di negara ini selepas persembahan pertama di Stadium Negara pada 2007.
Kali terakhir Muse mengadakan persembahan di Asia pada 2019 menerusi acara Singapore Grand Prix yang juga sebahagian dari jelajah Konsert Simulation Theory.
Konsert kali ini juga adalah siri jelajah dunia pertama Muse selepas pandemik COVID-19 melanda dunia pada 2019. – BOOM!