Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor memohon Kementerian Komunikasi mengambil kira dan menghormati pandangan mufti sebelum membenarkan sebarang acara hiburan termasuk konsert.
Menurutnya, apatah lagi pandangan mengenai larangan terhadap aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bukan merupakan ijtihad ulama tetapi berdasarkan nusus syar’iyyah yang disebut dengan jelas dalam al-Quran dan hadis.
Beliau kesal dengan penganjuran konsert membabitkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar LGBT.
Katanya, sebagai negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, kerajaan sepatutnya tidak membuka ruang kepada penganjuran konsert artis pendukung amalan maksiat yang dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah oleh semua agama.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi mencegah kemungkaran seperti mana dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran, Surah al-Haj Ayat 41.
“Sebagai mufti saya rasa bertanggungjawab bagi menggesa pihak kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi supaya membatal segera kebenaran bagi mengadakan konsert berkenaan.
“Saya juga menyeru seluruh umat Islam di negara ini supaya memulau konsert yang dicadangkan itu.
“Ingatlah, umat Islam ditegah bekerjasama dalam perkara yang membawa kepada dosa atau maksiat seperti dinyatakan di dalam al-Quran,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tegasnya, setiap Muslim tentu mengetahui Islam menolak segala hubungan jenis yang tidak ditegakkan di atas pernikahan yang sah.
“Semua agama langit menentang aktiviti LGBT kerana ia membawa negara dan umat ke jurang kemusnahan,” katanya
Beliau diminta mengulas mengenai penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran yang dijadualkan pada 24 Februari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Artis berkenaan didakwa menyokong aktiviti LGBT dan pernah menganjurkan konsert di Malaysia pada April 2019 di stadium sama. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN