Sebelum ini rakyat Malaysia tidak kenal siapa Derrick Gan.
Bagaimanapun reaksi jejaka rambut warna kuning ini menangis kegembiraan ketika pasukan Harimau Malaya menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Korea Selatan pada aksi Piala Asia 2023 di Qatar baru-baru ini mengundang perhatian ramai netizen.
Kisah Derrick yang merupakan penyokong tegar pasukan Kebanggaan yang digelar Ekor Harimau itu menjadi tular apabila dia mengaku sanggup menjual motosikalnya untuk membeli tiket menyaksikan Malaysia beraksi di Doha, Qatar.
Selepas menerima 2 motosikal baharu sebaik pulang ke tanah air, popularitinya terus melonjak apabila dia kini ‘diburu’ aktor terkenal, Datuk Rosyam Nor.
Dalam satu video yang dimuatkan naik menerusi media sosial Instagram, @strosyammart, Rosyam memberikan pesanan mahu berjumpa dengan Derrick.
“Awak sekarang popular tapi saya sokong semangat awak pergi ke Qatar dan sokong Harimau Malaya. Semangat awak menjadi contoh kepada rakyat Malaysia dan sokongan pada sukan kat Malaysia.
“Sebenarnya saya ada ‘something’ nak bagi pada awak tapi bukan motosikal sebab awak dah dapat. Kalau awak nampak video saya ini, awak DM saya. Kita tengok macamana kita atur, ok Derrick tahniah atas semangat awak,” katanya. – BOOM!