Usahawan selebriti , Datuk Seri Vida kembali menuai perhatian umum melalui lagu dan video muzik (MV) Ku Ikhlaskan yang dilancarkan secara rasmi semalam.
Menurut Vida, segala gimik dimulakan demi pembikinan lagu dan MV itu sebenarnya adalah usaha untuk mengumpul dana bagi menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdie di Meru, Perak miliknya.
“Lagu dan MV ini sebagai saham akhirat saya selain ingin menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
“Ditambah pula kita tidak lama lagi bakal menyambut bulan Ramadan, jadi saya kira ini peluang untuk kita menambah dan mendapatkan pahala berganda sekali gus diberkati Allah.
“Selepas menghayati lagu dan menonton MV ini, besar harapan agar orang ramai, peminat dan sesiapa saja dapat menderma supaya tercapai segera hasrat saham ilmu dan amal kebajikan ini,” katanya.
MV mendapat sentuhan pengarah Kel Wen itu menelan kos RM400,000 dan menjalani penggambaran selama lima hari di sekitar Kuala Lumpur dan Genting Highland.
Terdahulu, Vida, atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 51, muncul dengan mekap pelik pada program Big Stage 2022 hingga mendapat kecaman dan kritikan dalam kalangan pengguna alam maya.
ARTIKEL BERKAITAN:
“Meremang Bulu Mata” – Lancar MV Pukul 3 Pagi, Netizen Sifatkan Mekap Vida Menyeramkan
Bagaimanapun, Vida menjelaskan penampilan itu adalah teaser bagi video muzik lagu Ku Ikhlaskan.
Berkongsi mengenai lagu ciptaannya bersama Amy Ukays, penyanyi lagu I Am Me itu berkata, Ku Ikhlaskan bukan sekadar luahan kisah peribadi.
“Lagu ini sarat dengan emosi duka lara yang saya alami.
“Dalam lagu ini saya mahu menyampaikan keperitan, kehilangan, kecaman bertubi-tubi yang dihadapi selama ini,” katanya. – BOOM!