Pelakon berbadan sasa, Zul Ariffin mencetuskan kontroversi selepas memuat naik klip video memaparkan babak ‘panas’ dalam drama terbaharu lakonannya, Perempuan Itu di Instagram malam tadi.
Video itu menunjukkan Zul melakonkan beberapa adegan mengghairahkan dengan pelakon baru bernama Siti Hariesa.
Antara yang mencuri perhatian apabila aksi Zul merangkul badan Hariesa dan wanita itu mengepit kakinya pada tubuh aktor itu dari depan.
Selain itu, babak Hariesa menyuapkan whipped cream ke dalam mulut Zul sebelum dia menghabiskannya turut dikecam seolah-olah filem lucah.
Susulan perkongsian drama arahan Erma Fatima itu, pengguna alam maya meluahkan rasa terkilan serta marah dengan aksi ditonjolkan dalam Perempuan Itu.
Ada antara mereka berpendapat, drama yang turut dilakonkan Mimi Lana itu tidak sesuai untuk dipertontonkan di televisyen terutama menjelang bulan suci Ramadan.
“Zul Ariffin seriously? What kinda of a Malay drama is this? Jijik sial!” tulis pengguna akaun @tatyjoee.
Seorang lagi warganet mempersoalkan adakah Ramadan merupakan satu gurauan oleh penggiat seni seperti Erma.
“Apa benda ni? Apa yang difikirkannya sewaktu mempersetujui peranannya sebagai watak utama? Dan Erma Fatima sebagai pengarah?
“Mereka turut mempunyai keberanian untuk menulis; menemui penonton di TV3 pada bulan Ramadan ini. Adakah ini lawak jenaka bodoh buat kamu? Semua bodoh belaka,” ciap pengguna akaun @AdibFahim16
Perkongsian Zul itu mendapat lebih 150,000 tontonan dan 1,600 komen.
Namun melalui semakan hari ini, entri di Instagram itu telah pun dipadamkan. – BOOM!