Tampil menjawab kontroversi babak panas drama Perempuan Itu membabitkan dua teraju utama, Zul Ariffin dan Siti Hariesa, pengarahnya iaitu Ain Sharif menjelaskan adegan yang bocor merupakan ‘director’s cut’.
“Saya yang arahkan babak itu dan adegan yang Zul kongsikan di media sosial adalah director’s cut, bukannya untuk tayangan TV.
“Apa yang dipertontonkan itu merupakan second version dan sekadar tujuan publisiti,” terangnya memetik laporan mStar Online.
Menurut Ain, dia tidak tahu hero drama arahannya itu akan muat naik adegan terbabit di Instagram milik Zul dan terkejut apabila isu tersebut heboh diperkatakan di media sosial.
“Selaku pengarah, saya kena bertanggungjawab setelah orang mula bercakap tentang hal ini.
“Sejujurnya, saya tidak tahu Zul akan berkongsikan babak itu di Instagram. Saya pun terkejut sebaik mengetahuinya, tetapi benda dah jadi,” tambahnya sambil memohon netizen berhenti mengecam Erma Fatima yang dikaitkan dengan video itu.
Ain berkata, babak panas yang terdapat dalam Perempuan Itu tidak sampai 10 peratus dan dirakam untuk menggambarkan karakter Sera lakonan Hariesa sebagai isteri kedua Emir (Zul).
Bukan saja dikecam warganet, malah video tular itu turut mendapat perhatian Menteri Hal Ehwal Agama iaitu Senator Datuk Idris Ahmad yang menegur penerbitan babak berkenaan. – BOOM!