Hampir sebulan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia, rasa rindu sang suami, Shuib Sepahtu takkan pernah padam.
Malah Shuib atau Shahmira Muhamad, 37, sebelum ini juga sering berharap agar arwah muncul dalam mimpi selepas anaknya termimpikan Sarah.
“Tolong beritahu arwah, masuklah dalam mimpi saya,” kata Shuib dalam perkongsiannya di media sosial.
Dua hari lalu, Shuib kemudiannya menumpahkan rasa rindu apabila berkunjung ke pusara isterinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu di Gombak.
“Boleh jumpa, cuma suasana lain,” tulis Shuib bersama klip video berdurasi 14 saat yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.
Dalam klip itu, Shuib berpakaian serba hitam duduk merenung pusara isterinya dengan iringan muzik bernada sedih beserta hashtag #26hari #alfatihah #4sept2021.
Klip yang ditonton lebih 1.7 kali itu turut dihujani hampir 11,000 ucapan kata semangat buat pelawak berkenaan.
Penyanyi lagu Semakin itu meninggal dunia pada 9 Ogos lalu akibat Covid-19.
Pada 6 Ogos, arwah ditidurkan sebelum menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungannya dan selamat melahirkan bayi lelaki diberi nama Ayash Affan pada pukul 5 petang.
Pasangan yang berkahwin pada 26 Februari 2011 terlebih dahulu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Martin, 6.