Pelakon Syafiq Kyle, 31, hanya menunggu masa akad nikah saja beberapa bulan lagi dengan tunangnya juga pelakon Mimi Lana, 28, kerana semua persiapan perkahwinan mereka sudah disiapkan lebih awal.
Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak ketika ditemui berkata, dia tidak mahu lagi memberi penjelasan mengenai perjahwinan kerana merasakan ia sudah mencukupi.
“Saya tidaklah rimas apabila sering diajukan soalan sama, tapi saya rasa dah tak ada jawapan nak diberikan lagi,” katanya.
Bercerita mengenai lakonan, Syafiq berkata, dia teruja untuk ke lokasi penggambaran siri terbaharu, The Expert Syerif bulan depan yang diadaptasi daripada novel dan diterbitkan produksi dari United Kingdom.
“Ini titik permulaan saya untuk mengembangkan karier lakonan lebih jauh lagi ke luar negara. Saya teruja nak membintangi siri ini kerana jalan ceritanya yang bagus dan memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris saya.
INFO: “Alhamdulillah, One Step Closer” – Syafiq Kyle Dan Mimi Lana Langsungkan Pertunangan Hari Ini
“Saya nak belajar Bahasa Inggeris lagi dan ia menjadi cabaran serta pengalaman baru apabila bekerja dengan produksi luar. Saya begitu fokus pada karier lakonan dan berharap terus maju lagi pada masa akan datang,” katanya.
Mengulas watak Nazmi lakonannya dalam Seindah Kasih, Syafiq berkata, dia seronok menggalas watak sebagai wartawan unit berita dan bekerja dalam suasana yang menggembirakan walaupun perlu mencari berita eksklusif.
“Harapan saya agar Seindah Kasih dapat diterbitkan dalam bentuk siri pula selepas ini. Saya akan dapat peluang lebih besar lagi untuk menyelami dunia karier kewartawanan sebenar,” katanya. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO