Pelakon dan pengacara, Yasmin Hani, 43, menafikan dia dan teman lelakinya, Alif Hadi, 34, bakal mendirikan rumah tangga, tahun ini.
Tegas Yasmin, dia mahupun Alif tidak pernah membuat kenyataan mahu berkahwin, tahun ini kerana baginya, tiada apa yang perlu dikejarkan.
“Alif tak pernah cakap kami mahu kahwin, tahun ini. Bila orang tanya, dia hanya cakap lagi cepat lagi bagus. Malah, saya sendiri juga tidak tahu bila.
“Jujurnya, tiada apa yang mahu dikejarkan. Kalau banyak benda rasa selesa dan waktu bersesuaian, kami akan umum. Sebab perkahwinan mengikut masa kita sendiri juga. Kita merancang, Allah yang menentukan.
“Namun, kami tiada perancangan serius ke arah itu lagi. Detik waktu pun rasanya belum lagi. Dan, sekarang ini kami selesa berkawan dan anak-anak saya sangat sayangkannya,” katanya.
Yasmin ditemui pada sidang media program realiti baharu, Dapur Tempur siaran TV9 di Flower Girl Coffee, Sunway Geo Avenue, semalam.
Sementara itu, Yasmin turut menjawab spekulasi sesetengah pihak mendakwanya dan Alif bersekedudukan apabila kerap memuat naik video di rumah.
Jelas Yasmin, ibunya tinggal bersamanya dan mana mungkin melangkaui batasan dan mengetepikan orang tuanya itu.
“Emak saya nak campak mana? Janganlah cakap sebegitu kerana kalau kami tinggal bersama, emak saya nak duduk mana? Emak selalu datang ke rumah saya untuk makan.
“Bila orang datang rumah pastinya kita layan baik, tetapi kenapa bila orang luar tengok teman lelaki datang ke rumah, terus beranggapan kami tinggal serumah.
“Sebenarnya, kami tahu mana satu salah dan betul, mana satu bilik boleh masuk atau tidak,” katanya.
Tambahnya, dia sedih sebab melihat betapa kolot fikiran manusia.
“Saya tak peduli kata-kata orang, tetapi saya tidak mahu anak-anak nampak perkara negatif pada masa depan.
“Tetapi, anak-anak tahu ada emak dan pembantu d rumah bersama kami.
“Jadi, sekarang saya biarkan sahaja apa orang nak fikir. Saya buat hal saya sahaja.
“Saya mahu fokus pada kegembiraan dan kewarasan saya. Ia adalah penting sebab ramai orang yang tidak waras zaman sekarang,” katanya.
Hubungan Yasmin dan Alif menjadi rapat apabila masing-masing terbabit dengan penggambaran drama The Hotel pada 2021. Mereka kemudian dilihat saling berkongsi gambar bersama di laman Instagram (IG).
Terdahulu, Yasmin pernah mendirikan rumah tangga dengan Sha’arin Mohamed Razali pada 2011, sebelum sepakat berpisah dan mengumumkan perpisahan, tahun lalu. – BOOM!