Penantian peminat Malaysia menantikan selebriti terkenal Thailand iaitu Vachirawit Chivaaree, Win Metawin, Jirawat Sutivanisak dan Hirunkit Changkham hadir ke sesi bertemu peminat di Malaysia menerusi Shooting Star Asia Tour bakal menjadi kenyataan pada 5 November ini.
Bagaimanapun, majoriti peminat meluahkan ketidakpuasan hati mereka gara-gara harga tiket tidak setimpal dengan fasiliti ditawarkan penganjur iaitu ACO Media dan Asia Momentum Media.
“Tolonglah pertimbangkan harga dan susun atur tempat duduk. Semua berdiri? Tak masuk akal langsung!
“Kami beli tiket VIP tetapi semua kena berdiri. Kenapa kami tak disediakan tempat duduk?
“Ini sesi bertemu peminat bukannya konsert. Harga tak setimpal dengan faedah. Boleh hormat kami tak, tolonglah,” luah peminat di ruang komen Instagram penganjur.
Untuk rekod, sesi bertemu peminat itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya, Selangor, jam 8 malam.
Sebagai informasi, keempat-empat aktor pemegang watak utama sebagai Bright, Win, Dew dan Nani itu popular menerusi drama bersiri Boys Over Flower versi Thailand. – BOOM!