Memulakan kehidupan baharu di Amerika Syarikat sejak Mei lalu, entri terbaharu pelakon Sarah Hildebrand di Instagram seolah-olah memberi gambaran dia kini sudah menyertai pasukan Tentera Udara Amerika Syarikat (US Air Force).
Sarah atau nama sebenarnya Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand, 32, semalam berkongsi foto dirinya bersalaman dengan seorang pegawai tentera, selain memuat naik skor markah diperolehnya dalam ujian ketenteraan.
Malah pelakon yang mencipta nama menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu juga turut memuat naik video menunjukkan dia sedang mengangkat sumpah bersama dua rakan pelatih tentera yang lain.
“Semuanya tidak mustahil. Sangat bersyukur untuk segalanya,” tulis Sarah di ruangan kapsyen.
Perkongsian itu sekali gus membuatkan ramai peminatnya teruja, di samping turut mendoakan kejayaannya di masa hadapan.
Rakan artis seperti Dayah Bakar, Nadia Brian dan penyanyi Amir Hasan juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Sarah.
Terdahulu, Sarah mengumumkan persaraannya daripada industri seni hiburan tempatan menerusi sebuah video di Instagramnya.
Selepas bersara, pelakon kacukan Melayu-Inggeris terbabit kemudiannya mengambil keputusan untuk berhijrah ke negara kelahiran bapanya.
Bahkan dia turut menegaskan tidak mempunyai hasrat untuk kmebali semula ke Malaysia. – BOOM!