Malam Ahad telah berlangsungnya satu lagi konsert daripada artis tempatan iaitu Konsert 25 Saujana oleh kumpulan nasyid tersebut.
Diadakan di Zep Kuala Lumpur, selain persembahan mereka yang disifatkan ‘nostalgia’ mendapat pujian audiens, turut meraih perhatian adalah busana digayakan vokalis kumpulan itu iaitu Dr Idzu Baharin.
Tampil memakai sut rona hitam diperbuat menggunakan fabrik berkilau, penampilannya itu telah mencetus pelbagai reaksi oleh penonton yang hadir pada malam tersebut.
Dr Idzu dianggap sebagai jelmaan Aina Abdul versi lelaki tatkala usahawan berstatus jutawan itu mengenakan baju yang dilengkapi ropol besar di kiri dan kanan bahunya.
Tidak sedikit pun mengambil hati dengan komen-komen tersebut, vokalis utama Saujana berkenaan memberitahu bahawa dia sengaja tampil dengan konsep rekaan sebegitu kerana mahu menonjolkan kelainan.
“Ini fesyen ala drakula ya!” selorohnya sebagai respons kepada dakwaan meniru gaya fesyen Aina.
Tambahnya, unsur-unsur arus perdana yang tular dan menjadi ikutan sengaja diselitkan dalam persembahan nasyid supaya orang fikir lagu genre tersebut bukan seperti apa yang mereka fikirkan.
“Aliran ini juga sebenarnya boleh pergi jauh, sama seperti genre muzik lain.
“Ada banyak konsep dilakukan kalau kita berfikiran terbuka. Jika ia berjaya menembusi arus perdana, maknanya kita boleh tarik orang yang belum atau jarang dengar lagu nasyid,” jelasnya.
Sebelum membuat keputusan untuk berpenampilan begitu, Dr Idzu akui dia telah memikirkan tindakannya itu berkali-kali.
Sehingga akhirnya dia nekad dan bersedia untuk dikecam gara-gara berfesyen pelik dan unik di mata umum. – BOOM!