Menara komersial yang terletak di Skypark @ Cyberjaya dilaporkan terbakar kira-kira jam 4 pagi tadi.
Menurut ciapan dimuat naik di laman Twitter @cyberinfo, kebakaran melibatkan satu daripada enam menara yang terdapat di kawasan berkenaan.
“Api cuma dilihat di Tower 3 sahaja, tetapi asap tebal menyebabkan unit kediaman di Tower 1 dan 2 turut terkesan.
“Tower 1, 2 dan 3 menempatkan unit kediaman bersaiz studio, manakala selebihnya merupakan ruang pejabat dan kedai,” memetik kenyataan saksi yang ditemui di lokasi kejadian.
Seorang penghuni yang unit kediamannya berada di Tower 3 berkata, bunyi penggera kebakaran langsung tidak kedengaran sewaktu kejadian berlaku.
Sementara itu, ibu pejabat syarikat produksi gergasi iaitu KRU Group yang terletak di Tower 5 juga terkena tempias akibat kebakaran tersebut.
“Asap tebal dan hitam menyelubungi hampir seluruh kawasan di Skypark @ Cyberjaya.
“Walaupun Tower 3 sahaja yang terbakar, asap yang berkepul-kepul telah merebak masuk ke ruang-ruang pejabat di dalam Tower 5 dan 6.
“Situasi itu menyebabkan keadaan di pejabat menjadi kelam dek litupan asap serta berbau busuk,” ujar kakitangan KRU Group yang ditemui.
Sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh sepasukan anggota bomba yang hadir bersama tiga jentera, dimaklumkan bahawa punca kebakaran belum dapat dikenal pasti dan sedang disiasat.
Bagaimanapun pegawai bertugas menjelaskan, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. – BOOM!