Pelawak dan penyampai radio, Shuib, mengakui meminta kebenaran isterinya, Watie Hanifiah, setiap kali mahu menaikkan kandungan mengenai arwah Siti Sarah.
Bagaimanapun kata Shuib, Watie memintanya untuk tidak berbuat demikian kerana perkara tersebut bukanlah sesuatu yang memerlukan keizinan.
“Awal-awal dulu adalah saya minta kebenaran Watie kalau nak naikkan apa-apa tentang Siti Sarah, tetapi Watie terkejut bila saya tanya dan minta izin dia.
“Dia kata, kenapa you tanya, post je la i of course akan ok…Itulah kalau dulu orang tanya kenapa pilih Watie, inilah antara sebabnya.
“Mungkin orang tak nampak, tapi dari awal lagi saya rasa dia (Watie) adalah sesuatu. Saya pernah lalui saat yang sangat sedih tapi Allah gantikan dengan seseorang yang sangat okay untuk menerima saya. Dia sangat memahami,” katanya.
Ditanya mengenai anak-anak selepas dua tahun pemergian Siti Sarah, Shuib meluahkan rasa syukur kerana mereka sentiasa meletakkan allahyarham di hati dan tidak pernah lupa akan ibu mereka.
“Alhamdulillah…Anak-anak saya mudah, mereka tahu ibu sudah tiada dua tahun. Setiap hari mereka doakan arwah. Sehingga hari ini, saya lihat perkembangan diri mereka juga positif dan boleh menerima keadaan sekarang ini,” katanya.
Selain itu, Shuib turut bersyukur dengan hubungan rapat anak-anaknya Uwais, Talita, Matin dan Ayash dengan Watie.
“Saya pula kadang-kadang rasa terpinggir!,” katanya ketawa.
Menurut Shuib, kehadiran Watie menceriakan lagi kehidupan dia dan anak-anaknya.
“Sekarang ni, anak-anak saya happy. Saya pun sudah senang sikit, bila pergi kerja ada orang tengok-tengokkan anak. Ada orang masak, dia pun pandai masak.
“Alhamdulillah, percaturan Allah maha hebat dia ambil dan dia gantikan semula. Saya bersyukur sangat-sangat dan sedang menikmati kebahagiaan yang Dia kurniakan kepada saya,” katanya.
Shuib ditemui ketika majlis sidang media di Bubble Bee Bandar Tasik Permaisuri, pada petang Khamis.
Dalam pada itu, Shuib berkata, Siti Sarah akan sentiasa berada dalam dirinya sehingga bila-bila.
Pada 9 Ogos lalu, genap dua tahun pemergian Siti Sarah yang meninggal dunia kerana Covid-19.
Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). – BOOM!