Baru-baru ini nama penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) menjadi sebutan netizen apabila dikatakan sudah menemui pengganti arwah suaminya, Ashraf Sinclair.
Semuanya gara-gara sebuah video yang dimuat naik BCL ketika sambutan ulang tahunnya yang ke-40 beberapa hari lalu.
Video tersebut menjadi tular selepas kelibat sosok lelaki didakwa Tiko Aryawardhana hadir ketika sambutan majlis tersebut dan aksi mesra dia bersama BCL turut terakam.
Bagaimanapun kehadiran Tiko yang juga duda anak tiga dalam keluarga BCL nampaknya mencetuskan rasa kurang senang dan mengundang sindiran sinis netizen.
Segelintir mereka meminta penyanyi lagu Cinta Sejati itu membuang nama Sinclair pada Instagram miliknya jika merancang untuk berkahwin dengan Tiko.
“Kenapa saya yang sedih ya bila BCL sudah ada kekasih. Dia dengan Ashraf sangat sepadan.
“Tolong buang nama belakang Sinclair kalau sudah mahu menikah dengan Tiko.
“Tidak jadi sampai syurga dengan Ashraf nampaknya, sudah ada pengganti,” komen beberapa netizen.
Sehingga kini, BCL belum memberi sebarang pengesahan mengenai gosip berkenaan.
Bunga hidup solo selepas kematian suaminya, Ashraf Sinclair akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.
Sebelum ini, netizen turut mendakwa Tiko turut meraikan ulang tahun BCL secara ‘intimate’ di sebuah restoran mewah selepas kelibatnya terakam melalui pantulan cermin kaca di restoran berkenaan.
Malah, kelibat Tiko yang sering hadir dimana-mana acara melibatkan BCL sebelum ini menguatkan lagi spekulasi hubungan cinta mereka. – BOOM!