Vokalis kumpulan Bunkface, Sam semalam memfailkan permohonan meminda nafkah ke atas anak lelakinya, Maleeq yakni hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Aida Azira Hussin.
Sam atau nama penuhnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 34, difahamkan berbuat demikian setelah proses sulhnya bersama Aida pada bulan lalu gagal.
Pun begitu, penyanyi terbabit tidak hadir untuk sebutan kes pertamanya yang ditetap pada hari ini di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam, sebaliknya cuma peguam, Liyana Sihar mewakili pihaknya.
Sementara itu, peguam Aida menjelaskan, pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat terperinci mengenai pindaan yang ingin dimohonnya dan akan disebut semula pada Jun ini.
“Dia kenalah buktikan kalau betul tiada job atau pendapatan. Tapi tengok di media sosial, macam tak sama pun situasinya dengan apa yang dia cakap.
“Sebab itulah saya bantah kerana nafkah anak memang tanggungjawab dia dan wajib dibayar secukupnya,” katanya.
Dedahnya lagi, Sam sudah enam bulan tidak berjumpa dengan anak mereka malah panggilan yang dibuat juga tidak dijawab.
“Mungkin dalam lima atau enam bulan sejak tahun lalu. Dia yang tak jumpa anak. Sudah tentu anak ada mencari dia.
“Anak saya cuba untuk menghubungi dia tetapi panggilan tidak dijawab. Hubungan kami pun macam itu sajalah. Berhubung hanya untuk anak,” kata Aida.
Dalam pada itu, Sam enggan memberi sebarang kenyataan berkaitan pindaan nafkah tersebut.
Sam dan Aida berkahwin pada April 2015 dan mereka bercerai selepas kira-kira hampir empat tahun hidup bersama iaitu Januari 2019. – BOOM!