Kumpulan K-pop sensasi, BTS kembali beraksi di pentas tanah kelahiran mereka, Seoul, Korea buat pertama kali sejak Covid-19 melanda dunia, sekali gus mengubati kerinduan para peminat.
Konsert Permission to Dance on Stage-Seoul yang berlangsung pada Khamis di Stadium Olimpik, Seoul itu merupakan satu daripada tiga sesi yang berlangsung selama tiga hari.
Stadium itu memuatkan 60,000 pengunjung iaitu separuh daripada kapasiti asal sebagai langkah penjagaan jarak fizikal.
Dapat dilihat kemeriahan dan kehangatan semasa konsert berlangsung apabila para peminat melambai lampu LED berwarna ungu ke udara. Ungu adalah warna rasmi bagi kelab peminat kumpulan BTS.
“Apabila nampak anda semua duduk di sini, ia menandakan banyak perkara telah berubah. Entah bila lagi kita dapat menikmati sebuah konsert dengan tepukan yang gemuruh seperti ini?
“Ini sememangnya konsert yang perlu diingati dalam sejarah,” kata Kim Nam-joon selaku ketua kumpulan yang terharu melihat para peminat sudah boleh hadir ke konsert secara bersemuka.
Sejumlah 45,000 keping tiket untuk ketiga-tiga konsert tersebut habis dijual dalam masa seminit walaupun banyak syarat ditetapkan penganjur sebagai langkah berjaga-jaga penularan wabak.
Bahkan ada peminat meluahkan perasaan terharu kerana berjaya mendapatkan tiket yang diibaratkan seperti mimpi.
“Saya macam tak percaya bila tengok tempat duduk saya seperti tertera di dalam tiket,” kata seorang peminat bernama Heo Min-hee.
Tidak hanya orang muda, malah Han Aeng-hee, 53 tahun, juga gembira kerana berjaya membeli tiket konsert pemenang American Music Awards 2021 itu.
“Saya berdoa setiap hari agar dapat membeli tiket. Mujurlah saya berjaya mendapatkan tiket untuk menonton konsert hari pertama dan terakhir mereka,” ujarnya.
Pada tahun 2020, BTS terpaksa membatalkan konsert jelajah terbesar mereka melibatkan 40 pementasan akibat pandemik, sebaliknya cuma sempat mengadakan beberapa persembahan secara dalam talian sahaja.
Namun begitu, pertunjukkan pertama mereka di Los Angeles, Amerika Syarikat pada November lalu telah berjaya mengutip sebanyak USD33.3 juta seperti dilaporkan Billboard. – BOOM!