Kumpulan remaja popular sekitar awal 2000, Boboy akhirnya kembali bersatu kembali selepas hampir 20 tahun tidak mengadakan persembahan bersama.
Selaku vokalis Naqiu berkata, reunion kumpulan itu adalah hadiah istimewa buat peminat serta penyokong muzik mereka yang sekian lama menunggu kemunculan semula.
“Sebelum saya muncul di Gegar Vaganza (GV) lagi, ramai peminat yang bertanyakan tentang lagu baru kami.
“Walaupun sudah lebih 15 tahun kami menyepi, rupanya ramai peminat yang berharap untuk kami kembali.
“Mereka setia sejak awal tahun 2000 dan kini matang bersama kami,” katanya.
Naqiu atau Wan Naqiuddin Mohd Najib, 36, berkata demikian usai menjalani rakaman Konsert Minggu Ini (KMI) Naqiu dan Boboy di Auditorium Perdana, Angakasapuri minggu lalu.
Mengulas lanjut, Naqiu memaklumkan hubungan mereka sesama ahli masih seperti dahulu walaupun masing-masing sudah membawa haluan sendiri.
Tambahnya, Boboy bakal menampilkan single baharu yang bakal dikeluarkan selepas Aidilfitri.
“Alhamdulillah kami semua masih berkawan baik dan berhubung antara satu sama lain,” kongsinya lagi.
Boboy dianggotai oleh Naqiu selaku vokalis, Shah, pemain gitar utama, Muz, pemain gitar kedua, Didi, pemain bass serta Dzul di posisi drum. – BOOM!