Suami kepada pelakon Fatin Afeefa iaitu Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai menafikan dakwaan kononnya dia dipanggil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kerana menggunakan nombor plat palsu pada kenderaan jenis McLaren berwarna hijau yang tular, baru-baru ini.
Opai menerusi Instagram Story memaklumkan dia tidak menerima sebarang panggilan berkenaan isu terbabit.
Menurut Opai dia hanya menggunakan nombor plat QPA1 sewaktu berkahwin dengan Fatin untuk tujuan merakamkan foto kenangan bersama.
“Assalamualaikum, JPJ tidak ada memanggil saya pun, malah saya juga tidak menerima apa-apa surat atau panggilan daripada pihak mereka.
“Saya rasa kalau nak beri penjelasan pun, biasalah orang kahwin guna nombor plat fancy, nombor plat cantik-cantik. Letak nama sendiri.
“Atas jalan raya kami tak guna pun nombor plat tu,” katanya.
Pada Ahad, media tempatan melaporkan JPJ Kuala Lumpur mengesahkan nombor plat yang digunakan pada sebuah kenderaan jenis McLaren adalah bukan nombor sebenar.
Menurut JPJ, pemilik berdaftar nombor plat dan kenderaan berkenaan merupakan pihak yang berbeza.
Justeru, pemilik kereta tersebut dinasihatkan membuat laporan polis susulan gambar kenderaannya tular di media sosial membabitkan seorang suami artis popular. – BOOM!