Selepas berjaya tampil di papan iklan digital di New York Amerika Syarikat tahun lalu, mereka mencatat satu lagi kejayaan manis dalam kerjaya seni mereka.
Dolla dianggotai Wan Sabrina Wan Rusli atau Sabronzo, Tabitha Ariel Lam (Tabby), Angelina Chai Ka Ying (Angel) dan Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya).
Kini, empat gadis jelita itu berjaya menarik perhatian saluran YouTube tersohor dunia MsMojo.
MsMojo telah mengiktiraf Dolla untuk berada dalam senarai 10 kumpulan wanita antarabangsa yang perlu ada dalam senarai main pencinta muzik.
Selain Dolla yang menduduki tangga keenam, turut tersenarai adalah kumpulan dari Jepun, XG dan juga sensasi K-Pop, New Jeans.
Dalam video YouTube tersebut, MsMojo menyenaraikan 10 buah kumpulan nyanyian wanita antarabangsa dari pelbagai pelusuk dunia, termasuk Amerika Syarikat, Amerika Latin, United Kingdom, Jepun, Korea dan juga Asia Tenggara seperti Filipina dan juga Malaysia.
Pemilihan MsMojo itu menjadikan Dolla satu-satunya kumpulan dari Malaysia yang berjaya memasuki carta itu.
Menurut saluran itu, Dolla bukan sahaja dikenali kerana kelincahan mereka di pentas tapi juga berkat ketularan mereka di media sosial. Ini termasuklah kejayaan lagu ‘Raya Raya Raya’ yang berjaya mengumpul jutaan peminat seluruh dunia.
Dengan lima juta pengikut yang mengikuti saluran MsMojo, sudah pasti ia memberikan impak yang besar buat Dolla.
MsMojo juga merupakan salah satu saluran YouTube yang lahir dari saluran induk WatchMojo, sebuah saluran video ulung di YouTube yang berpusat di Kanada. – BOOM!