Misteri pemilik kostum Bunga Matahari terjawab apabila penyanyi Stacy dinobatkan sebagai juara The Masked Singer Malaysia musim keempat (TMSM4) yang disiarkan secara langsung di Pusat Konvensyen CIDB, di sini, malam tadi.
Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam meraih markah tertinggi daripada juri selepas menyanyikan dua buah lagu iaitu Lathi nyanyian Genius ft Sara Fajira dan lagu ciptaannya, Cinta yang dipopularkan Marsha Milan.
Sementara itu, pempengaruh dan pelawak Namie yang menyarungkan kostum Mat Helang pula menduduki tempat kedua.
Manakala, pelawak dan pengacara Danial Zaini yang memakai kostum Sang Kancil berpuas hati di tempat ketiga.
Penyanyi kelahiran Ceria Popstar, Adinda Tasya yang memakai kostum Biskut Aiskrim menduduki tempat keempat, manakala penyanyi Nabila Razali (Teratai) di tempat kelima.
Persembahan peserta diadili oleh sembilan juri iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Zizan Razak, Rozita Che Wan, Erra Fazira, Nabila Huda, Zizan, Angah Raja Lawak dan Elly Mazlein.
Rancangan yang bersiaran selama 10 minggu itu dihoskan oleh pengacara terkenal Datuk AC Mizal.
Sembilan selebriti tersingkir pada minggu sebelum ini terdiri daripada Hun Haqeem (Roti John), Datuk Yusry Abdul Halim (Musang), Noki (Bawang Putih) dan Azan Ruffege (Abang Jagung).
Selain itu, Amelina (Pom Pom Kin), Daiyan Trisha (Ikan Emas), Rashidi Ishak (Putera Katak), Soo Wincci (Kak Cat) serta Amira Othman dan Irfan Haris (Cili Padi).
TMSM merupakan program realiti popular dari Korea Selatan, The King of Mask Singer yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat. – BOOM!
Sumber: Metro