Semalam pelakon sensasi, Sharifah Sakinah, 33, telah memuat naik foto dirinya bersama suami, Michael Hansen, 42, di dalam sebuah kereta.
Namun apa yang menjadi perhatian dan menimbulkan tanya adalah kapsyen yang ditulis menunjukkan seolah-olah pasangan ini kini tidak lagi bersama.
“Kami mempunyai perbezaan pendapat, sistem kepercayaan, perspektif dan ideologi. Disebabkan itu kami tidak boleh menjadi pasangan lagi. Tamat,” tulisnya di bahagian kapsyen.
Walau bagaimanapun, pelakon drama ‘Girlfriend Aku Dari Neraka’ itu mengambil keputusan untuk menutup ruangan komen di hantaran berkenaan.
Sebelum ini pernah timbul gosip bahawa hubungan Sakinah bersama suaminya yang berasal dari Sweden itu sedang dilanda masalah.
Namun dua minggu lalu, Sakinah telah memuat naik fotonya bersama Michael di Dubai sempena dengan hari lahir mereka yang jatuh pada hari yang sama.
Sakinah dan Michael telah mengumumkan bahawa mereka telah sah menjadi suami isteri pada Februari lalu, namun tidak berkongsi tarikh sebenar perkahwinan mereka. – BOOM!