Teki-teki mengenai gerangan pengganti Allahyarham Siti Sarah Raissuddin sebagai wajah eksklusif produk tudung di bawah jenama Loveta milik arwah terjawab sejurus nama Anzalna Nasir jadi pilihan.
Perkara itu diumumkan oleh Anzalna menerusi Instagram miliknya baru-baru ini dengan memuat naik video kempen promosi bagi keluaran terbaharu tudung Loveta yang menyaksikan Anzalna tidak mampu menyekang air mata ketika menjayakan penggambaran.
Menambah sebak, ibu tiri arwah, Siti Fatimah Suberi bersama anak perempuannya iaitu Talita yang turut berada di set tersebut kelihatan mengalirkan air mata.
“Alhamdulillah, sejak bertudung ni memang banyak tawaran daripada pelbagai jenama dari dalam dan luar negara, tetapi cuma Loveta menjadi pilihan saya.
“Selain diperbuat menggunkan fabrik berkualiti yang mudah disarung, saya turut tertarik menjadi sebahagian keluarga Loveta disebabkan ingin menunaikan hasrat arwah.
“Dulu Sarah pernah menyatakan hasratnya mahu meneruskan legasi Loveta selama yang boleh dan pada masa sama membantu pekerja yang bernaung di bawah syarikat ini mencari rezeki mereka sekeluarga.
“Ketika wakil syarikat bertanyakan tentang kolaborasi ini, jujurnya saya rasa berbelah bahagi memandangkan jenama Loveta amat sinonim dengan nama arwah,” jelasnya di samping mendengar pendapat serta nasihat dititipkan suaminya, Hanif Zaki yang merupakan ahli perniagaan.
Terang Anzalna atau Nur Anzalna Md Nasir, 33, dia mengakui sesi penggambaran ketika itu amat meruntun hatinya lantas memohon maaf kerana gagal lakukan terbaik sambil meluahkan kerinduannya terhadap Sarah.
“Penggambaran ini yang sangat menyentuh hati saya. Maaf sekiranya saya tidak dapat berikan kerjasama yang baik sepanjang proses penghasilan klip sebab terlalu beremosi. Saya sangat rindukannya, al-Fatihah!” tulis si jelita yang bergelar finalis Dewi Remaja 2009. – BOOM!