Penyanyi, Dayang Nurfaizah menafikan dia mempunyai sebarang masalah kesihatan apabila kelihatan cengkung sejak kebelakangan ini.
Dayang menjelaskan, penampilannya yang sedikit susut itu adalah disebabkan mahu kelihatan kemas dan cantik di televisyen.
Selain itu, Dayang juga turut memohon kepada peminat untuk menghentikan spekulasi dan andaian terhadap dirinya kerana dia berpendapat kata-kata itu sebagai satu doa.
“Saya jarang hendak bersuara atau bercakap mengenai hal ini, tapi saya mohon kepada peminat yang sayang akan saya untuk berhenti bertanya sama ada saya sakit dan sebagainya.
“Bukan apa, perkataan dan kata-kata yang selalu keluar itu akan menjadi satu doa. Alhamdulillah, saya sihat walafiat saja dan tidak mempunyai masalah kesihatan.
“Cuma saya hendak cantik, itu saja. Jadi bila ada konsert besar dan sebagainya, saya akan diet sebagai salah satu persediaan. Malah, saya juga akan bersenam bagi memastikan stamina dan tenaga sentiasa ada.
“Tidaklah saya diet sepanjang masa, sebaliknya ada ‘cheat day’ selepas melunaskan satu konsert atau majlis besar,” katanya.
Ditanya mengenai pembabitannya dalam konsert bersama Ajai, Dayang berkata, dia sangat teruja memandangkan lagu-lagu ciptaan komposer itu yang dirakamkannya menjadi antara karya malar segar yang masih diminati peminat.
“Tentulah saya berasa teruja, apatah lagi dia merupakan pencipta lagu yang membuatkan orang ramai mengenali saya.
“Ajai adalah seorang yang sangat ‘passionate’. Sehingga kini, saya masih mahukan khidmatannya sebagai komposer. Dalam album baru saya nanti akan ada lagu Ajai,” katanya.
Selain Dayang, konsert ini bakal dimeriahkan dengan kehadiran Aina Abdul, Hazama, Hafiz Suip, Aufahanie dan Ajai sendiri.
Konsert ByAjai & Mega Friends bakal berlangsung pada Sabtu, 3 Ogos depan Megastar Arena Kuala Lumpur dibawakan khas oleh Menara Network Sdn Bhd. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO