Penyanyi lagu Pencuri Hati, Ayda Jebat mengesahkan dirinya telah dijangkiti Covid-19, lantas memohon kepada sesiapa yang pernah bersua muka dengannya dalam masa terdekat menjalani ujian calitan.
Pemberitahuan itu dikongsikan Ayda menerusi laman Instagram miliknya pagi tadi.
“Positif hari ini. Sesiapa yang jumpa dengan saya terutama sekali semalam, jalanilah ujian calitan hari ini atau secepat mungkin. Maaf sangat,” tulisnya.
Bagaimanapun kata Ayda, dia tidak mempunyai sebarang simptom, sebaliknya hanya mengalami sakit tekak.
“Saya tidak ada simptom teruk. Sakit tekak sahaja, jadi tolonglah kepada sesiapa yang sakit tekak, jangan tunggu atau biarkan,” nasihatnya kepada pengikut akaun media sosial.
Hantaran berkenaan ternyata mendapat perhatian bukan sahaja peminat, malah teman selebriti tidak ketinggalan mendoakan agar penyanyi dan pelakon itu segera sembuh.
Sementara itu, Ayda dilihat meluahkan kesedihan apabila terpaksa berpisah dengan anak tunggalnya, Ana Nayla yang kini berusia dua tahun. – BOOM!