Hos yang juga juri program memasak televisyen (TV) popular, MasterChef Australia, Jock Zonfrillo, meninggal dunia pada usia 46 tahun, umum anggota keluarganya, Isnin lalu.
Zonfrillo yang berdarah kacukan Scotland-Australia dan bapa empat anak dilaporkan ditemui mati oleh polis di Melbourne, awal pagi tadi, lapor agensi.
“Dengan hati yang benar-benar hancur dan tanpa tahu bagaimana hidup boleh diteruskan tanpa dirinya, kami sangat sedih untuk berkongsi bahawa Jock sudah meninggal dunia,” kata keluarganya dalam kenyataan di media sosial.
Zonfrillo dilahirkan di Glasgow, Scotland pada 4 Ogos 1976 dan berlatih sebagai cef di United Kingdom (UK) sebelum berpindah ke Australia pada awal 2000.
Ketika Menetap di Adelaide, Zonfrillo membuka Restoran Orana yang terkenal pada 2013 sebelum mengusahakan Bistro Blackwood, empat tahun kemudian.
Restoran Orana dianggap sebagai salah sebuah premis sajian terkemuka Australia dan memenangi pelbagai anugerah. Malah, Zonfrillo tersenarai sebagai cef terkemuka di negara itu. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN