Kumpulan vokal dan hip-hop dan R&B popular, Ruffedge, tampil dengan bukan saja satu malah dua buah tangan baharu berjudul Belenggu dan Putus.
Lebih istimewa, dua karya itu dihasilkan sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya muzik mereka.
Kumpulan Ruffedge yang terdiri daripada Zain Hamid, Sein, Azan, Mode, dan Cat Farish meluahkan keterujaan dengan buah tangan terbaharu mereka.
Lagu Belenggu dan Putus menampilkan Suffren Ghafar selaku penerbit buat peminat kumpulan yang diasaskan pada tahun 1998 itu.
Manakala lagu Putus pula melibatkan kolaborasi bersama Lah Ahmad sebagai penampilan istimewa dalam single itu.
Mengulas mengenai Belenggu, Ruffedge berkata ia berkisarkan isu semasa dan sosial yang melanda masyarakat kebelakangan ini.
“Dengan pelancaran lagu Belenggu, kami ingin berkongsi mengenai perasaan dan pengalaman emosi yang mungkin dialami oleh segelintir pihak.
“Lagu ini juga bertujuan memberi ruang dan inspirasi yang positif kepada yang mengalami hal yang sama,” kata Cat Farish.
Lagu “Belenggu” benar-benar istimewa kerana liriknya mempunyai maksud mendalam dan dihasilkan oleh anggota kumpulan Ruffedge sendiri iaitu Sein, Azan, Mode, dan Cat Farish.
Belenggu menyuntik nafas baharu kerana menonjolkan elemen unik yang belum pernah didengari sebelum ini.
Sementara itu, Putus, seperti tajuknya menggambarkan tentang perasaan yang berakhir dan pastinya membawa emosi yang sangat berat dalam lagu ini.
Menurut Ruffedge, Putus mengisahkan tentang perasaan kecewa disebabkan perpisahan yang berlaku sekali gus menghancurkan harapan dan impian yang dibina dalam sekelip mata.
Lagu ini turut mendapat sentuhan daripada anggota Ruffedge sendiri iaitu Sein, Azan, Mode dan Cat Farish.
Selain itu, Putus yang diterbitkan oleh Ruffedge dan Suffren Ghafar telah mendapat sentuhan lirik daripada Sein, Azan, Mode, Lah Ahmad dan Cat Farish.
Putus yang mengetengahkan genre R&B diharap dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan muzik Ruffedge sebagai salah sebuah kumpulan berpengaruh di malaysia.
“Semoga lagu Belenggu dan Putus (penampilan Lah Ahmad) dapat diterima oleh pelbagai lapisan pendengar bagi menjadikan lagu kami sebagai sumber inspirasi yang positif pada masa akan datang.
“Insha-Allah kami akan terus berinovasi dalam menghasilkan karya-karya yang baik dan berkualiti untuk peminat setia yang telah lama menantikan karya terbaharu daripada kami,” ujar Azan.
Lagu ‘Belenggu’ dan ‘Putus (penampilan Lah Ahmad) boleh dimuat turun dalam aplikasi digital iTunes dan boleh didengari di semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. – BOOM!