Pengarah dan juga pelakon terkenal, Along Kamaluddin mengakui kecewa dengan tindakan Zul Ariffin kerana melakonkan babak panas seperti dalam video tular baru-baru ini.
Menurut Along, perbuatan tersebut amat menjelekkan, malah menyifatkan Zul sepatutnya lebih bijak memilih babak bersesuaian.
“Maaf, saya kecewa dengan Zul. Rasa jelek dan kecewa. Mana jati dirinya sebagai orang Melayu?
“Walaupun pengarah suruh, tak semestinya perlu dituruti. Jadilah artis yang bijak, tolak saja permintaannya,” kata Along ketika ditemui di Hotel Royale Chulan Damansara semalam.
Along menambah, kaedah promosi diguna pakai bagi memperkenalkan drama Perempuan Itu arahan Ain Sharif berkenaan adalah tidak wajar.
“Saya rasa dia pengarah baharu sebab orang lama takkan buat sebab akan fikir dua tiga kali akibatnya,” ulasnya.
Bagi Along, sebagai muslimin dan Melayu, peliharalah adat Timur dan jangan sesekali terpengaruh dengan budaya Barat. – BOOM!