Penyanyi rap dan pempengaruh media sosial, Caprice mengesahkan Mondy Tatto berada dalam keadaan baik di bawah jagaan tim, Munafik Hunter.
Bagaimanapun Caprice ketika ditemui berkata, tidak dapat dipastikan tempoh jangka masa pempengaruh Indonesia itu akan berada di negara ini.
“Buat masa ini Mondy selamat dalam jagaan kami, dan bagi kami dia tetamu yang perlu disantuni. Kami datang dari keluarga diplomatik, bapa saya pernah bertugas di Wisma Putra dan pesan dia, supaya kami sentiasa hormati tetamu.
“Kalau ‘korang semua’ pergi ke Airbnb (tempat Mondy tinggal), kami memang 300 peratus jaga tetamu. Nak makan apa, nak buat apa…Sedaya upaya kami cuba penuhi,” katanya.
Dalam masa sama, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata dia juga telah melantik seorang pengawal keselamatan untuk memantau keadaan Mondy di penginapannya.
“Kita tidak tahu bagaimana keselamatan Mondy jika dia pulang sekarang. Kami menjangkakan dia akan berada di sini sehingga kes ini tamat.
“Jadi dalam tempoh tersebut, dia akan berada di bawah jagaan pihak saya. Untuk waktu ini dia berada dalam keadaan selamat 24 jam. Malam saya akan ada seorang bodyguard wanita akan tidur dengan dia.
“Seratus peratus keselamtan Mondy di bahu kami. Malah saya juga dah berbincang dengan kedutaan Indonesia, kita tengok macam mana nanti,” katanya.
Dalam pada itu Caprice turut mendedahkan, suami Mondy dipukul dua hari lalu di Indonesia oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali, dipercayai mempunyai kaitan dengan apa yang sedang berlaku sekarang.
“Suami Mondy kena belasah dua hari lepas, tiada siapa bercakap mengenainya. Ye lah, kasta paling bawah siapa nak bantu dia…
“Mereka tak berani buat apa-apa di Malaysia sebab kita dah buat ikut prosedur undang-undang, mereka tak berani buat hal di sini,” katanya.
Caprice berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Thor X yang berlangsung di JW Mariot Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu.
Sementara itu, ditanya mengenai harapan berhubung kes melibatkan pendakwah terkenal Ebit Lew, Caprice menjawab keadilan akan berada pada pihak yang benar.
“Harapan saya ialah untuk menegakkan keadilan kepada semua yang pernah menjadi mangsa, bukanlah Mondy sahaja.
“Mangsa seksual, kita tidak sepatutnya kecam mereka secara melulu. Saya harap mereka ini diberi peluang agar dapat membela diri.
Insya-Allah kebenaran dan keadilan sentiasa berada di pihak mangsa,” katanya penuh harapan. – BOOM!