Mengimbas kembali nostalgia ketika mahu mendirikan rumah tangga, pelakon, pengarah dan penerbit, Yana Samsuddin mendedahkan, pinangan suami yang juga rakan baiknya, Fadzil Zahari pernah ditolak oleh keluarganya.
Pun begitu menurut Yana atau Nur Liyana Samsuddin, rombongan merisik keluarga Fadzil yang datang dari Kedah ke Johor pada 2010 itu ditolak secara baik.
“Saya tahu Fadzil sebenarnya sudah lama sukakan saya sejak kami sama-sama terbabit dalam kerja-kerja di sebalik tabir sewaktu berkhidmat di bawah syarikat produksi MIG.
“Bukan apa, pada masa itu masih banyak hal lain yang perlu saya usahakan terlebih dahulu sebelum melangkah ke fasa perkahwinan.
“Saya ingin beli rumah untuk keluarga waima sanggup memakai kereta kecil, cuma Perodua Kelisa ketika itu.
“Biarlah kereta orang lain silih ganti, saya tetap setia bersama Kelisa asalkan hasrat membahagiakan keluarga terlaksana,” akui Yana membuat pendedahan yang tidak pernah dikongsi kepada umum selama ini.
Yana berkongsi kisah cintanya itu ketika menyertai sesi Instagram Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) malam tadi.
Sesi itu diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
“Alhamdulillah, selepas semuanya terlaksana, sekitar tahun 2014, saya sudah bersedia untuk memikirkan tentang diri sendiri usai umur menjengah 30 tahun.
“Saya amat beruntung dan bersyukur walau apa jua rintangan, Fadzil setia menunggu dan akhirnya kami sah bergelar suami isteri pada 2015, lima tahun selepas kena rejek,” katanya sambil tertawa.
Menyentuh soal kerjaya seninya, wanita kelahiran Yong Peng, Johor itu mengatakan, dia kini selesa berada di belakang tabir sebagai pengarah dan penerbit meski tawaran berlakon tidak pernah putus.
“Saya bermula sebagai penyanyi untuk lagu filem Mami Jarum ketika berusia 17 tahun.
“Kemudian saya bekerja di Metrowealth International Group (MIG) di bahagian suntingan dan di situlah bermula segala-galanya,” kata Yana.
Pada 2008, di usia 23 tahun, dia muncul selaku pengarah filem wanita termuda mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta lakonan Fazura dan Pierre Andre.
“Filem berkenaan mencatat kutipan hampir RM1 juta yang boleh dikatakan cukup baik pada era tersebut,” katanya. – BOOM!