Umum mengetahui, penyanyi terkenal, Elyana sedang bertarung melawan sakit kanser limfoma yang dihidapinya sejak sedekad lalu.
Popular dengan lagu Tak Tercapai Akalmu, Elyana Emrizal sering berkongsi mengenai perkembangan tahap kesihatannya di akaun media sosial.
Namun baru-baru ini, Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 34, telah meluahkan isi hatinya tentang tanggapan sesetengah warganet terhadap dirinya.
“Kalau boleh, setiap hari saya nak makan makanan sihat dan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, yang tidak mengandungi gula dan garam termasuk suplemen tambahan.
“Sebutlah apa saja, semuanya saya dah ikhtiarkan. Diet? Pantang? Makan ubat? Rebus herba? Benda yang anda tak terfikir boleh makan pun saya dah makan.
“Macam-macam lidah dan tekak saya ni dah rasa serta telan demi untuk sihat.
“Malah tak makan selama setahun pun pernah, sebab tak ada selera. Sampai terpaksa masukkan susu guna tiub.
“Berubat semua ceruk yang orang usulkan, saya pergi,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram mendedahkan pengalaman dilaluinya.
Bahkan katanya lagi, selama 10 tahun itu juga, sudah lebih 20 kali dia menjalani rawatan kimoterapi, manakala kira-kira 30 kali rawatan radioterapi.
Menurutnya, sebagai seorang yang pernah mengalami hilang deria rasa, dia sarankan orang ramai agar menikmati makanan selagi Allah kurniakan nikmat untuk makan.
Akan tetapi pesannya, harus berpada-pada dan berdoa sebelum makan supaya makanan yang dimakan menjadi ubat dan asbab untuk sembuh.
“Jika kamu jadi saya, baru kamu akan faham keadaan ini. Tak ada gunanya jika saya jelaskan selagi kamu tidak merasainya sendiri.
“Beza kalau kita pernah jaga atau kenal orang sakit dengan kita sendiri yang alami dan berperang dengan sakit. Sangat berbeza,” tegasnya.
Tambah penyanyi dan pelakon berkenaan, seandainya ingin membantu, belajarlah untuk memahami terlebih dahulu.
“Bukan sekadar menghakimi di ruangan komen dan mengadu. Rosak jiwa saya. Saya dah buat yang terbaik dan termampu selama ni,” kongsinya.
Malah sepanjang berpenyakit, tiada yang bantu menjaganya selain suami, sebaliknya dia yang harus menjaga orang lain.
“Saya bukan mengadu, cuma ingin beritahu. Saya tak ada kuasa luar biasa, hanya manusia biasa.
“Nak jaga diri sendiri pun tak terdaya. Itu belum campur lagi kepayahan lain yang dihadapi.
“Mulut penuh ulser, demam tak menentu, sakit saraf seluruh badan, susah bergerak, tak boleh minum air waima telan air liur sekali pun muntah.
“Berat… terlalu berat untuk ditanggung. Kamu tdak akan memahami selagi tak merasainya,” luahnya panjang lebar mengakhiri tulisannya.
Benarlah bak kata Elyana, kita tidak akan merasai penderitaan orang lain selagi kita belum alaminya sendiri.
Jadi janganlah kita terus menghakimi dan meninggalkan komen sesuka hati tanpa memikirkan perasaan orang. – BOOM!