Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menetapkan keputusan rayuan pelakon, Amelia Henderson pada Jumaat ini selepas diperintahkan membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama, tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Leong Wai Hong memutuskan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam, Mansheel Kaur yang mewakili Amelia selaku perayu dan peguam, Ashmadi Othman bagi pihak produksi (responden).
“Saya akan memberi keputusan Jumaat ini, jika ada menyelesaikan secara baik, sila maklum pada tarikh itu,” kata Pesuruhjaya Kehakiman dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, Zoom.
Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon, Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada penerbit filem dan drama, Datuk A Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.
A Aida bersama sutradara drama, Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara tersebut ke muka pengadilan sekali gus memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit.
Bagaimanapun, saman terhadap Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman terbabit.
Pada 7 April lalu, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan pelakon, Amelia Henderson membayar lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd.
Ia membabitkan bayaran pertama RM3,920; ganti rugi am fitnah RM90,000 dan kos penggambaran drama itu sebanyak RM101,325 selain kos RM18,000 (guaman plaintif).
Mahkamah turut memutuskan supaya pelakon itu memohon maaf dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat terbabit.
Hakim, Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas mendapati Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, telah melanggar terma-terma kontrak dalam filem ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’.
Pada 18 April lepas, Amelia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen ini.
Pada 2 Ogos lalu, mahkamah membenarkan permohonan Amelia untuk menangguhkan permohonan maaf kepada A Aida. – BOOM!
Sumber: SINAR HARIAN