Minggu lalu kecoh apabila dua pelakon remaja popular iaitu Puteri Balqis dan Mia Sara dikatakan berselisih faham di media sosial sehingga sohor kini.
Ia bermula apabila Mia pada awalnya berniat untuk mempertahankan teman seangkatannya itu yang menjadi mangsa kecaman pengguna TikTok.
Namun frasa ayat digunakan Mia atau Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 17, kurang disenangi Balqis kerana kedengaran seolah-oleh menghina ibunya.
Menyuarakan isi hati, Balqis atau Puteri Balqis Azizi, 15, menerusi ruangan Instagram memberi respons terhadap ketidaksengajaan Mia.
Bagaimanapun, lain pula jadinya tatkala luahan tersebut disalah erti segelintir warganet hingga menyebabkan Mia pula menerima serangan bertubi-tubi daripada pengikut gadis yang mesra disapa Aqish itu.
Meski Aqish telah memohon maaf dalam satu entri videonya di Instagram, namun pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia 2014 berkenaan akui masih terkilan apabila ibunya dijadikan sasaran umum melemparkan cacian.
“Ramai yang cakap Mia cuba mempertahankan saya menerusi tulisannya. Tetapi kenapa pada masa sama dia juga ‘like’ komen-komen yang hina ibu saya? Itu yang buatkan saya terkilan dengan sikapnya,” luah Aqish.
Ditanya adakah Mia ada menghubunginya secara peribadi selepas insiden itu, kata Aqish, perkara itu tidak pernah terjadi.
“Saya pun dah minta maaf dan back to normal. Kini saya cuma mahu tumpukan hal kerja saya dan menulis puisi,” maklumnya.
Ditanya sama ada dia bersedia andai terdapat tawaran yang mahu menggandingkannya bersama Mia dalam sebuah naskhah, ternyata dia tidak keberatan.
Selain itu, si kecil berbakat besar tersebut bakal muncul dalam sebuah filem seram berjudul Rumah bergandingan dengan Erra Fazira sebagai ibu dan anak yang dijadualkan tayangan di pawagam pada 17 Februari ini. – BOOM!