Heroin siri Tarik Aku Ke Syurga, Nelissa Nizam akui perkongsian imej dan video mesra bersama aktor berbadan tegap, Zul Ariffin baru-baru ini menyebabkannya dia ditegur oleh segelintir peminat.
Tampil menjelaskan perkara itu, pelakon baharu berkenaan berkata, ia sebenarnya sebahagian daripada rangka promosi drama tersebut yang bakal bersiaran di slot Samarinda TV3.
“Memang ramai yang tegur fasal hal itu, tetapi saya tak baca semuanya. Lagipun saya tak terkesan dengan kata-kata mereka yang kebanyakan berbaur cacian serta hinaan.
“Perkongsian saya cuma nak bagi tahu penonton mengenai drama kami. Tambahan pula, tak ada pun aksi yang keterlaluan.
“Kesemua konten itu hanya dilakukan selepas empat bulan kami menjalani penggambaran,” katanya yang ditemui pada sesi pratonton filem terbaharu lakonannya, The Disappearance of Irdina Adhwa di Tropicana Mall kelmarin.
Akui Nelissa atau nama penuhnya Nelissa Edreena Nizam, 24, ada beberapa peminat yang memarahinya, namun dia tidak berminat untuk mengeruhkan lagi keadaan dengan memberi respons tidak wajar.
“Jika terbaca mesej yang bukan-bukan, biasanya saya abaikan saja. Sebab kebanyakannya memaki, bukannya menegur.
“Jadi saya akan baca dan balas mana-mana yang perlu sahaja,” katanya menetapkan pendirian.
Ditanya mengenai dakwaan menumpang populariti Zul selaku pasangan heronya, Nelissa beranggapan tidak salah sekiranya benar dia berbuat demikian.
“Dari aspek profesionalisme kerja, begitulah yang sepatutnya. Jadi memang betullah yang mereka katakan terhadap saya.
“Malah saya gembira dan teruja bekerja dengan Zul kerana dia seorang guru lakonan yang baik,” katanya memuji pelakon diminatinya sekian lama itu. – BOOM!