Jurusolek dikenali sebagai Nurul MF memuji penyanyi rap MK K-Clique yang sangat menitik beratkan tentang penampilan isterinya supaya tampil sopan ketika majlis resepsi mereka baru-baru ini.
Perkara tersebut dikongsi Nurul MF menerusi laman sosial Instagram (IG)nya, sehari selepas menyolek isteri MK, Siti Haajar.
Video tersebut yang memaparkan Siti Haajar sedang ditatarias Nurul MF mendapat hampir 32,000 tanda suka.
Apa yang menarik perhatian ialah, perkongsian Nurul MF pada bahagian kapsyen ialah berkenaan permintaan dibuat MK.
“Kak minta tolong labuhkan lagi tudung isteri saya,” tulisnya.
Kagum dengan permintaan tersebut, Nurul MF memuji MK dan menyatakan kepada Siti Hajaar bahawa dia tidak tersalah pilih suami.
“Alhamdulillah, you are in the right hand, Haajar. Semoga Allah terus pelihara awak berdua,” tulisnya lagi.
Siti Haajar dan MK atau nama sebenarnya MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, telah bergelar suami isteri pada 16 Jun lalu.
Majlis resepsi kemudiannya diadakan pada 17 Jun di Klang. Haajar dan MK anggun dalam persalinan rekaan pereka fesyen terkenal Riezman Ruzaini.
Haajar memakai ballgown berwarna putih dengan perincian batu permata di bahagian pinggang manakala, MK pula segak dengan suit berwarna hitam.
Penampilan Haajar pada malam tersebut turut mendapat pujian dan komen positif wargamaya yang rata-ratanya suka dengan busana yang tampak sopan dan manis. – BOOM!