Konsert A Night with Aina Abdul #UniEdition yang berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur telah melabuhkan tirai dengan jayanya pada hari Sabtu lalu.
Pada malam tersebut, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani tampil menawan dengan gaya yang ringkas dan elegan, tidak seperti kebiasaan gayanya ketika membuat persembahan.
Menurut Aina, gaya yang ditampilkan pada malam itu adalah pilihannya sendiri mengikut kesesuaian lagu-lagu yang dipersembahkan.
Namun, di sebalik gayanya yang ringkas itu, Aina turut memakai perhiasan mewah bernilai RM1.6 juta hasil tajaan dari jenama terkemuka, Ceres Jewel ketika menggayakan busana keduanya yang berwarna biru laut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penata gaya saya dan Ceres Jewel atas barangan perhiasan ini.
“Sebenarnya saya ni jarang tampil begini. Tetapi untuk hari ini, saya memakai rantai, cincin, gelang dan subang yang bernilai RM1.6 juta. Saya menggayakan perhiasan ini kerana akan ada kolaborasi saya dengan mereka nanti, Insya-Allah.
“Sebenarnya malam ini saya akan gayakan busana yang ada lampu, tetapi untuk show kita buka sebab saya tak nampak jalan.
“Saya lebih selesa dengan penampilan yang ringkas begini kerana sesuai mengikut lagu-lagu yang dibawakan pada malam ini” kata Aina ketika ditemui BOOM! usai Konsert A Night with Aina Abdul #UniEdition di Universiti Malaya, baru-baru ini.
Dalam konsert yang berdurasi 1 jam 30 minit itu, Aina mempersembahkan lebih 10 buah lagu miliknya seperti Ghost, Sumpah, Semalam, Sepi, Terus Hidup, Puas Sudah dan banyak lagi. Aina juga turut membawakan medley hits Indonesia iaitu Usai, Sisa Rasa, Hijrah dan Sang Dewi.
Selain daripada itu, Aina turut menjelaskan mengapa dia dan pihaknya mengambil keputusan untuk mengadakan konsert #UniEdition.
“Sebenarnya idea untuk membuat konsert #UniEdition ini muncul ketika saya buat A Night With Aina Abdul 2.0. Pada waktu itu, saya banyak mendapat kritikan yang mengatakan bahawa tiket konsert saya tidak ‘students friendly’.
“Saya rasa sangat bersalah dan tiada apa yang saya dapat lakukan kerana ketika itu sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tempat duduk perlu diselang-selang kerana perlu ada penjarakan sosial,” katanya.
Oleh itu, Aina mengambil keputusan untuk mengadakan konsert di beberapa buah universiti bermula di UM dengan menawarkan harga tiket sebanyak RM60, RM75 dan RM100.
“Alhamdulillah, selepas kita lancarkan penjualan tiket di UM, universiti lain juga mahu Aina mengadakan konsert di tempat mereka. Tetapi saya lebih selektif keran perlu melakukan persiapan untuk konsert seterusnya. Saya hanya memilih dua buah universiti sahaja bagi tahun ini dan selebihnya akan dijalankan pada tahun hadapan,” ujarnya. – BOOM!