Syarikat rakaman FMC Music mengesahkan penyanyi, Datuk Jamal Abdillah menarik diri daripada bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).
Pengarah Urusan FMC Music, CF Ho berkata, penyanyi berusia 64 tahun itu mempunyai sebab tersendiri dan tidak dapat menyampaikan lagu Ku Cuma bersama pasangan duetnya, Wany Hasrita.
“Pihak kami tidak dapat berbuat apa-apa jika keputusan itu telah dibuat sendiri oleh Datuk Jamal dan dipersetujui oleh pihak penerbitan.
“Sebelum itu Datuk Jamal sendiri ada memberitahu saya untuk menarik diri, tetapi saya mencadangkan agar beliau memaklumkan sendiri pada pihak penerbitan AJL kerana perkara itu terletak di luar bidang kuasa kami selaku syarikat yang menerbitkan lagu,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Justeru bagi mengisi kekosongan itu, FMC Music dan pencipta lagu Ku Cuma, Ezra Kong telah bersetuju untuk memberi kepercayaan kepada penyanyi, Afieq Shazwan sebagai pengganti Jamal.
“Keputusan pemilihan ini dibuat berdasarkan kredibiliti dan kemampuan Afieq. Kami yakin Afieq mampu memberikan persembahan dan kerjasama yang baik dengan Wany Hasrita,” ujarnya lagi.
Difahamkan, Jamal terpaksa menarik diri daripada turut sama bertanding kerana terikat dengan komitmen lain yang sudah dipersetujui lebih awal.
Kemuncak AJL38 yang mengetengahkan konsep ekstravaganza menerusi tema Muzikaverse bakal berlangsung pada 3 Mac depan di di Axiata Arena, Bukit Jalil. – BOOM!
Sumber: Sinar Harian