Penyanyi Liza Hanim tampil menegur usahawan selebriti sensasi, Kak KM susulan dianggap tidak senonoh melakukan perbuatan mencolok mata di tempat awam tanpa memikirkan soal adab dan aurat sebagai seorang Muslim.
Kata pemilik nama penuh Haliza Hanim Abd Halim, 43, itu, dia tidak menghalang sekiranya Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli ingin menyusukan bayinya, namun keperluan itu wajar dilakukan dengan menjaga sensitiviti orang ramai.
“Saya terpanggil untuk suarakan pendapat. Baru-baru ni ternampak seorang usahawan menyusukan anak di khalayak sambil bergambar.
“Sebagai seorang ibu yang menyusukan anak-anak, saya menyokong tanggungjawabnya bergelar ibu dengan memberikan bayi susu badan, bukannya susu formula.
“Namun sebagai saudara sesama Islam, saya mohon tolonglah jaga adab ketika berada di tempat awam,” tulisnya di media sosial semalam.
Terdahulu, usahawan yang sering terpalit kontroversi itu mengundang kecaman umum apabila tanpa memakai nursing cover, secara terbuka dia menyusukan anaknya.
Bahkan anak kepada pelakon veteran Normah Damanhuri berkenaan turut mengundang kritikan disebabkan penampilannya yang seksi seolah-olah sengaja mendedahkan bahagian dada ketika beraksi menyusukan anak di depan kamera.
Menurut Liza, dia juga pernah merakamkan aksi sama sewaktu menyusukan anak, namun berhati-hati bagi mengelak timbulnya rasa kurang senang pihak yang memandang.
“Saya sendiri pernah menyusukan bayi saya di mana-mana saja. Malah pernah di tepi jalan di Seoul, Korea dan ya, saya merakamkan gambar juga. Tetapi adab tu kenalah jaga.
“Ni bukan masalah saya berhijab dan dia tidak. Kita perlu jaga kehormatan kita sebagai wanita serta ibu.
“Allahu-Akbar. Sedangkan kita menutup dengan sesungguhnya menyusukan pun masih dipandang serong. Apatah lagi dalam keadaan yang usahawan itu tunjukkan,” katanya mengucap panjang. – BOOM!