Penganjuran festival muzik Berdendang Bergoyang yang diadakan di Jakarta, Indonesia baru-baru ini terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.
Dijadualkan berlangsung selama tiga hari, acara itu bagaimanapun dibatalkan di hari terakhirnya pada Sabtu lalu kerana penonton berasak-asak sehingga menyebabkan ramai pengsan.
Lebih teruk, media tempatan turut melaporkan terdapat audiens yang mengalami luka-luka dan tercedera akibat dipijak selepas mereka terjatuh.
Ketua Polis Metro Jakarta Pusat, Kombes Komarudin berkata, angkara situasi yang semakin sukar dikawal, konsert tersebut dihentikan sejam lebih awal daripada waktu sepatutnya.
“Disebabkan kapasiti penonton yang melebihi had, Berdendang Bergoyang harus dihentikan segera kerana membahayakan dan mengancam nyawa,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook rasmi penganjur, mereka memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.
“Kami memohon maaf atas kekecewaan dan harapan penonton seluruh rakyat berdendang.
“Perkara yang terjadi akan dijadikan pengajaran untuk lakukannya dengan lebih baik di masa hadapan,” memetik kenyataan tersebut.
Penganjur juga memaklumkan pemulangan semula wang pembelian tiket telah dimaklumkan kepada penonton. – BOOM!