Memulakan perhubungan atas dasar rakan sepermainan video sejak tiga tahun kebelakangan ini, akhirnya Zaki Azeman dan Raa Suzuran mengikat tali pertunangan pada Rabu lalu.
Mengakui jalinan hubungannya bersama Raa atau Siti Nur Shahira Ahmad, 23, bukan mudah, Zaki atau Mohamad Zaki Azeman, 28, berkata, dia harus memikat hati tujuh orang bakal abang ipar termasuk pengacara, Jaa Suzuran.
“Raa merupakan anak bongsu daripada lapan beradik dan dia satu-satunya perempuan.
“Jadi bukan mudah untuk memenangi hati abang-abangnya seramai tujuh orang termasuk Jaa.
“Walaupun saya dan Jaa sebaya, tetapi diikutkan, dialah abang paling susah untuk saya rapat, sekali gus tawan hatinya.
“Ini kerana, hubungan Raa dan Jaa paling akrab dalam kebanyakan abang yang lain,” ulas Zaki yang merupakan anak kelahiran Perlis itu.
Mengulas lanjut perkenalan mereka, pelakon Ombak Rindu The Series itu mengenali pasangannya ketika kedua-duanya aktif sebagai strimer dalam permainan video atas talian.
“Ikutkan kami kenal menerusi Instagram dulu. Kemudian disebabkan berkongsi minat sama bermain permainan video, hubungan kami makin rapat.
“Lagipun dia dah biasa dengan industri hiburan dan sangat memahami kerjaya saya. Insya-Allah, lepas Aidilfitri kami rancang nak bernikah,” katanya. – BOOM!